Search This Blog
Tuesday, May 4, 2010
Ibu Bapa Nabi Muhammad Masuk Neraka?Musyrik?
Soalan:
Assalamualaikum Ustaz. Soalan saya berkaitan kekeliruan yang timbul mengenai ibu dan bapa nabi kita Nabi Muhammad (sallallahu ‘alaihi wasallam). Saya ada terbaca beberapa kenyataan mendakwa ibu Nabi (Aminah) dan bapa Nabi (Abdullah) mati dalam keadaan kafir atau syirik bukan dalam Islam dan kedua-duanya akan masuk api neraka dan diazab. Apakah jawapan terbaik bagi yang bertanya adakah ibu-bapa Nabi Muhammad masuk neraka?
Jawapan:
Wa’alaikumsalam. Orang yang mendakwa ibu dan bapa nabi Muhammad masuk neraka adalah orang yang jahil walaupun dia mendakwa dia alim dalam hal itu. Sangat dilaknat sesiapa sahaja yang menyakiti Rasulullah dan sesiapa yang mendakwa ibu bapa Nabi masuk neraka maka dia dianggap menyakiti Rasulullah. Imam Al-Qadhi Abu Bakar Ibn Al-‘Araby Al-Maliky pensyarah kitab Sunan At-Tirmizi apabila ditanya mengenai seorang lelaki yang mendakwa bapa Nabi masuk neraka maka beliau menjawab bahawa orang tersebut adalah MAL’UN akan dilaknat oleh Allah kerana Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan RasulNya akan dilaknat oleh Allah didunia dan di akhirat dan disediakan untuknya azab yang amat pedih” Al-Isra’ 57. Allah juga berfirman: “ Dan mereka yang menyakiti Rasulullah maka keatas mereka azab yang pedih”. At-Taubah 61. Dan beliau (Imam Ibnul ‘Araby) menyatakan “Dan tiada yang paling menyakiti Rasulullah melainkan dakwaan bahawa kononnya bapa Nabi Muhammad (iaitu Abdullah) masuk neraka”. Rujuk Ar-Rasail At-Tis’ nukilan Imam As-Sayuti.
Ini bererti bahawa kenyataan kononnya bapa nabi (iaitu Abdullah) masuk neraka adalah terbitan dari orang yang dilaknat Allah. Hendaklah kita menjahui dari kenyataan tersebut.
Yang sebenarnya ibu baginda (Aminah) dan bapa nabi kita ini (Abdullah) adalah mati tidak diazab dan tidak dimasukkan dalam neraka kerana Allah berfirman: “ Dan kami tidak akan mengazab seseorang pun kecuali telah sampai padanya utusan dan dia enggan menerima”. Al-Isra; 16. Atau kita katakana bahawa kedua ibu bapa Nabi Muhammad iaitu Aminah dan Abdullah mati dalam keimanan atau ahli fatrah (yang tidak sampai dakwah&tidak diazab). Kedua-dua pandangan ini (iaitu mati dalam iman atau sebagai ahli fatrah) adalah pandangan yang boleh diterima, berbeza dengan pandangan tadi yang mendakwa kononnya ibu bapa nabi masuk api neraka dan ini adalah pandangan yang menyakiti Rasulullah. Rujuk Fatwa Mantan Mufti Mesir Asy-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’iy dalam Al-Fatawa Al-Islamiyyah dan Mufti Mesir Tuan Guru saya Dr. Syeikh Ali Jum’ah dalam Al-Bayan m/s 170. Tetapi pandangan yang lebih sahih adalah kedua ibu bapa Nabi Muhammad iaitu Aminah dan Abdullah adalah mati dalam keimanan yang sahih.
Berkaitan dengan Hadith yang menyatakan: “Sesungguhnya bapaku dan bapamu dalam neraka”. Walaupun ia riwayat Muslim tetapi apabila mengkaji kita dapati antara perawi dalam hadith tersebut seorang bernama Hammad Bin Salmah merupakan perawi yang selalu dan kerap diingkari oleh ulama hadith. Dia juga (Hammad bin Salmah) merupaka seorang yang tidak menghafal serta banyak Awham (tidak benar). Berkata Al-Hafiz Az-Zahaby mengenai Hammad tadi: ”baginya (hammad) terlalu banyak keingkaran keatasnya dan padanya Waham serta dia tidak menghafal dan dikatakan kitab-kitabnya banyak ditokok tambah”. Berkata Imam Ibnu Al-Jauzi mengenai Hammad Bin Salmah juga: ”Sesungguhny perkara yang dingkari dalam periwayatan dari Hammad Bin Salmah terlalu banyak”. Rujuk Al-Maudu’aat. Ini bererti bahawa riwayat Hadith tersebut adalah ma’lul (dipertikai) walaupun ia diriwayatkan dalam Sohih Muslim. Berkata Imam Al-Hakim: ” Sesungguhnya Imam Muslim tidak meriwayatkan satu hadith pun dari Hammad Bin Salmah dari Thabit kecuali hadith ini”. Ini bererti juga Imam muslim tidak i’timad membiasakan riwayat hadith yang ada perawinya Hammad bin Salmah kecuali pada hadith tadi. Berkata Imam As-Sayuti: ”Imam Al-Bukhary tidak pernah memasukkan Hammad Bin Salmah dalam periwayatan hadith Sohih Al-Bukhary beliau”.
Hadith tersebut juga boleh ditafsirkan dari maksud Nabi ”bapaku” adalah ayah saudaraku bukan Abdullah yang merupakan bapa nabi Muhammad. Ini kerana dalam bahasa arab perkata bapa juga boleh datang dengan makna bapa saudara atau pakcik.
Wallahu’alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam.ana ada link artikel enta di blog ana...tq
http://penembak-tepat.blogspot.com/2010/06/benarkah-ibubapa-nabi-kita-mati-musyrik.html
Post a Comment