
Apa ada pada ESQ
SOALAN:
Salam. Ust... saya seorang petugas di salah sebuah syarikat. Kami pernah mengikut progranm yang di susun oleh ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. Seorang yang bernama Ary Ginanjar Agustian dari Indon sebagai Pengasas, Pemegang Paten dan Penulis buku ”ESQ” dan ”ESQ Power”. Bukan masaalah syarikat atau kenegaraan yang merunsingkan kami tetapi cara-cara, kaedah dan isi kandungan kursus yang dibuat oleh ESQ itu banyak membimbangkan kami terutama aqidah kami. Bolehkah Ustaz menjelaskan sedikit mengenai isi kandungan dan dakyah yang di sebarkan oleh ESQ ini?
JAWAPAN:
Wa'alaikumsalam...syukran kerana bertanya. Setahu saya ESQ Leadership Center Sdn. Bhd merupakan sebuah syarikat latihan yang mahukan pembinaan Modal Insan berteraskan Kepimpinan. Saya tidak pernah mengikuti kursus yang dianjurkan oleh ESQ tetapi saya lihat terdapat beberapa program yang mengunakan nama MOTIVASI mereka menggunakan sebahagian kaedah-kaedah yang dikatakan diambil dari ESQ.
Melalui beberapa pembacaan saya mengenai ESQ yang diketua oleh Dr Ary Ginanjar Agustian terdapat beberapa perkara pada mereka atau pengasasnya yang bertentangan dengan Aqidah dan Ahli Sunnah Wal Jama'ah Al-Asy'irah itu sendiri bahkan bertentangan dengan Islam secara syumuli. Terutama pada permasaalah Agama dan Para Nabi.
Mereka (ESQ) kelihatan tidak atau kurang cermat dalam hal ini sehingga mereka mengambarkan seolah-olah para nabi terdahulu menyembah selain Allah dan para nabi dahulunya masih mencari-cari akan tuhan sebenar. Dalam Islam perkara ini tidak berlaku kerana para Nabi sepertimana yang diceritakan dalam banyak ayat al-Quran dan al-Hadith mereka tidak berkeadaan sebegitu rupa. Para nabi diberi kecerdikan dalam pemilihan agama dan kesemuanya memilih agama Islam sejak awal lagi dan tidak pernah tercari-cari dimana tuhan sebenar dan tidak pernah para nabi ragu-ragu akan ketuhanan Allah.
Kita perlu mengetahui bahawa banyak ayat al-Quran dan al-Hadith perlu difahami secara benar melalui para ahlinya yang muktabar bukan diterjemahkan atau ditafsirkan sendiri oleh kita sehingga membuatkan kita mengada-adakan sesuatu fakta yang tidak benar.
Ya, terlalu banyak 'ahli motivasi' tidak cermat dalam hal ilmu dan fakta islam sebenar. Ianya berlaku dek mentafsirkan nas secara otak sendiri tanpa merujuk kepada ahlinya yang muktabar. Maka kita perlu berjaga-jaga dengan mereka yang seperti ini agar tidak terbatal Islam kita hanya kerana menghadiri majlis beberapa jam yang bertopengkan nama Islam dengan pelbagai gaya dan bahasa.
Nasihat saya agar kita semua mengambil langkah berjaga-jaga dan jangan cepat terpengaruh dengan orang jahil bertopengkan agama.
Wassalam.